Saturday, January 12, 2008

Mengapa Hanya Melayu Yang Terhegeh-Hegeh Ke Jom Heboh?


“Demi Masa Sesungguhnya Manusia Itu Dalam Kerugian, Kecuali Orang-Orang Yang Beriman Dan Beramal Soleh Dan Yang Berpesan Dengan Kebenaran Serta Berpesan-pesan Dengan Kesabaran".
-Surah Wal'Asr.


Jalan sesak menuju ke Stadium Indera Mulia. Tempat letak kereta dikatakan penuh dan ada yang terpaksa mengheret ahli keluarga berjalan hampir 1 km semata kerana tidak mahu ketinggalan ke karnival Jom Heboh anjuran TV3. Mereka adalah yang mempersetankan kenyataan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria dan Majlis Mufti-Mufti yang telah mengharamkan Sure Heboh yang kini Jom Heboh. Berikut adalah perbualan semasa minum pagi dengan sahabat yang ingin hadir ke Jom Heboh di Stadium Indera Mulia.

A : Hangpa pi Jom Heboh ?

B : Aku pi, hang tak pi ke, rugi macam-macam ada. Swiss Roll Erra Fazira tu pun adaaa..

A : Aku tak pi, pasal Harussani kata haram!

B : Ehhhh.. habih, kalau pi kenapa ? Bukan pi tengok konsert, round pameran saja, itu pun tak boleh ke?

A : Setahu aku dah Mufti kata haram tu, haramlah!

B : Ehh.. pandai-pandailah engkau!

A : Itulah sebab aku tak teringin nak ke sana.

B : Habis ramai orang pegi? Pak Aji pun ada!

A : Macam ni lah. Ayam yang sembelih tu halal makan tak?

B : Laaa.. halallah! Dah sembelih bolehlah makan.

A : Ok, ayam sembelih halal makan, tapi halal tak ayam sembelih tu kalau letak satu freezer dengan babi?

B : Err.. Errr... Aaa.. Uuuu.. Aaa..

A : Halal ke haram?

B : Haramlah tapi itu ayam, ini Jom Heboh.

A : Ok, masa hang kat sana, hang perasan tak keliling hang, kiri kanan, depan belakang hang yang bersesak-sesak semua tu.. Bangsa apa? Melayu, Cina, India, omputeh..??

B : Aaa laa, Melayu yang ramai.

A : Haaa.. kalau Jom Heboh tu tempat yang elok untuk bawak anak bini jalan, beli belah, tengok pameran dan lain-lain, mengapa bangsa yang maju seperti Cina yang kaya, banyak duit.. tak pi beli belah kat sana, mengapa tak ramai bangsa lain yang ke sana, mengapa bangsa Melayu saja yang ramai hadir?

B : !@#$%^&*...

A : Sebab orang melayu leka, suka berhibur, tak tahu membezakan baik buruk suatu perkara pasal tu lah Mufti dah kata haram pun pakat pi jugak.

B : Jadi haramlah aku pi sana?

A : Macam hang kata tadilah, ayam sembelih kalau letak satu freezer dengan babi tetap haram walaupun hang beli balik masak ayam tu saja. Pasal letaknya ayam tu bersama babi-babi yang haram!

B : (Tersenyum kambing)

______________________________________________________________


“Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu”.

- Surah Al-Maaidah : 100

Pada 30 Julai 2004 Majlis Mufti-Mufti telah memutuskan mereka yang menganjur, menghadiri dan menonton konsert berkenaan adalah juga Haram. Menariknya ramai yang hadir ke karnival Jom Heboh anjuran Tv3 memberi alasan kenyataan Mufti hanya haramkan konsert dan ramai yang hadir memberi alasan seperti sekadar berkunjung ke gerai-gerai pameran dan membeli belah mana yang patut. Begitulah asam garam manusia berdolak dalik semata memenuhi desakan nafsu. Kita letak ketepi dahulu bab hukum tetapi apa yang kita mahu nyatakan di sini adalah pengunjung yang membanjiri karnival Sure Heboh dahulu dan Jom Heboh sekarang.

Kalau diperhatikan sekalian yang hadir membanjiri karnival Jom Heboh berkenaan yang di adakan secara road show majoriti yang kita lihat adalah bangsa Melayu. Dari muda-mudinya, yang berkeluarga hinggakan pak aji dan mak aji pun hadir sama. Kita boleh lihat sendiri di kaca tv pada malam konsert utama baik Sure Heboh dahulu dan Jom Heboh sekarang hampir kesemua yang kita lihat adalah bangsa Melayu. Persoalannya mengapakah hanya bangsa Melayu yang hadir ke karnival Jom Heboh ? dimanakah bangsa Cina dan India umpamanya.

Jika persoalan hadir semata berkunjung, melawat ke gerai pameran, mengapa bangsa yang memiliki kuasa beli yang tinggi seperti bangsa Cina hampir tidak kelihatan di karnival berkenaan. Jika karnival Jom Heboh tempat yang baik untuk beli belah dan bawa anak bersantai mengapa bangsa yang boleh kita katakan lebih maju dari Melayu seperti Cina hanya sebilangan kecil yang kita nampak mengunjungi karnival berkenaan. Di malam konsert utama misalnya padang persembahan penuh dengan pasangan melayu dan ada yang tanpa segan silu berpelukan malah dengan aksi-aksi menjurus ke jalan zina. Pengunjung bercampur lelaki perempuan, yang tua dan muda, yang berkeluarga dan berpasangan tetapi kebanyakannya bangsa Melayu. Dimana bangsa lain dan mengapa mereka tidak terhegeh-hegeh seperti orang Melayu berkunjung ke karnival tv3 berkenaan.

Inilah satu persoalan yang amat menyedihkan semua. Bangsa Melayu leka berhibur dan kerap kali gagal mengimbang antara desakan nafsu dan tuntutan agama. Memalukan bila bangsa lain yang bukan Islam tidak seberapa untuk hadir ke karnival sedemikian sedangkan dari jalan raya hinggalah ke tapak karnival penuh dengan orang Melayu.

Tanpa kita sedari dalam kita menuntut pembatalan cadangan IFC, dalam kita memperjuangkan isu murtad, dalam kita keluh kesah usaha muda mudi kita di pesonakan golongan kristian program-program hiburan sedemikian telah melekakan bangsa Melayu dan orang Islam. Karnival berkenaan melekakan dan melemahkan orang Melayu dan Islam dari menumpukan isu-isu penting dalam hidup dan masa depan mereka dan di sisi agama. Anak-anak muda, dewasa lalai dan leka seolah isu-isu besar agama tidak langsung menghantui mereka. Seolah hadir ke karnival itu satu gah bagi mereka dan satu kepincangan jika tidak menghadirinya.

Sedangkan dalam gerombolan manusia yang penuh sesak itu penuh dengan muka-muka kulit sawo matang, hampir kebanyakannya Melayu! Melayu Islam sepatutnya peka akan hal ini. Amat memalukan bila bangsa Melayu lebih terkehadapan dalam program hiburan berbanding program-program lain yang lebih bermanfaat pada bangsa dan agama sendiri.

Melayu yang hadir sepatut nya malu dan sedar akan apa yang telah mereka lakukan.

"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta".

- Surah Al-An’am : 116

Renung-renung dan fikir-fikirkanlah tulisan ini. Hiburan yang melalaikan semakin bermaharajalela. Sampai bila kita hendak menyokong agenda pihak berkaitan? Di mana letaknya keagungan hukum ISLAM itu sendiri? Jom bermuhasabah diri dan segera bertindak, InsyaAllah! Wassalam.