Mungkin ramai di kalangan kita pernah mengalami masalah pedih hulu hati.
UJIAN endoskopi dilakukan untuk mengklasifikasikan keadaan dan punca sebenar masalah pedih hulu hati.
Istilah yang kerap diguna pakai dan difahami oleh sebahagian besar masyarakat masa kini diertikan sebagai kesakitan yang hadir secara tidak menentu dan berulang kali biasanya dialami pada bahagian bawah tengah bawah dada.
Pakar Perunding Gastroenterologi, Jabatan Perubatan Hospital Kuala Terengganu (HKT), Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkata, gejala yang dialami bersama rasa loya dan diikuti dengan muntah-muntah ini sebenarnya hadir dengan gejala yang berbeza-beza antara individu.
Menurut beliau, masalah kesihatan yang kerap berlaku dan dialami oleh pelbagai peringkat umur ini boleh meninggalkan kelegaan apabila berlaku rasa loya diikuti dengan muntah.
“Sesetengah individu mungkin mengalami gejala seperti ini dan sebahagian yang lain mengalami gejala yang berbeza.
“Biasanya pesakit yang loya diikuti dengan muntah akan lega selepas kedua-dua proses ini berlaku,” jelasnya.
Malah, sesetengah pesakit yang lain mungkin terpaksa menjolok tekak mereka kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami.
Menurut beliau, pedih hulu hati merupakan satu gejala yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit atau masalah-masalah kesihatan yang berbeza-beza.
Walaupun kebanyakan kes pedih hulu di hati disebabkan oleh radang di lapisan perut (gastritis) atau peptik ulser, namun masalah ini boleh disebabkan lain-lain penyakit.
“Ini termasuklah radang pankreas, radang hati (hepar), radang apendiks, kanser hati, aortic aneurysm, radang pundi hempedu dan juga boleh disebabkan oleh serangan jantung dan jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia),” katanya.
Dr. Ahmad Shukri memberitahu, jika pedih hulu hati ini berpunca daripada radang saluran makanan (esofagitis), sakit yang bermula di bahagian hulu hati akan naik ke atas yang dikenali sebagai heartburn.
Keadaan ini mengakibatkan pesakit mengalami rasa panas pada bahagian depan dan belakang dada.
“Sebaliknya, sesetengah pesakit akan rasa pahit kerana asid naik ke dalam mulut,” katanya.
Menurut beliau, selain batu di saluran hempedu, radang pankreas juga berlaku kerana tabiat meminum minuman keras dalam jangka masa yang lama dan dengan jumlah yang banyak.
Tambahnya, kehadiran cacing ascaris yang hidup dalam usus kerana pesakit kurang menitikberatkan aspek kebersihan juga boleh menyebabkan radang pankreas.
“Radang pundi hempedu yang berpunca daripada batu dalam hempedu (cholecystitis) turut menyebabkan pedih hulu hati,” katanya.
Mengenai makanan tertentu yang menyebabkan berlakunya pedih hulu hati, Dr. Ahmad Shukri memberitahu, bukan semua individu yang mengalami masalah pedih hulu hati disebabkan oleh faktor pemakanan.
“Sesetengah individu mungkin tidak boleh mengambil makanan yang pedas, berlemak atau minuman yang bergas, sebaliknya mungkin sesetengah yang lain tidak mempunyai masalah,” ujarnya.
Masalah pedih hulu hati ini jika dibiarkan boleh menjejaskan prestasi kerja atau akademik seseorang.
Pada peringkat yang serius, pesakit terbabit mungkin perlu dimasukkan ke wad dan perlu mengambil cuti sakit.
Ketika ditanya sejauh manakah persekitaran boleh mengakibatkan pedih hulu hati, Dr. Ahmad Shukri tidak menafikan jika individu terbabit berlatar- belakangkan keluarga yang sering berdepan dan gagal menangani tekanan, mereka juga terdedah kepada risiko penyakit ini.
Bagaimanapun, di kalangan pesakit yang terdiri daripada golongan remaja, hasil ujian endoskopi mendapati sebahagian besar daripada mereka yang mengalami masalah pedih hulu hati menunjukkan mereka adalah normal.
“Kebanyakan pesakit dari kumpulan ini tidak menghidap gastrik atau ulser dan golongan ini dikategorikan sebagai non ulser dyspepsia,” katanya.
Bagi kumpulan ini, masalah pedih hulu hati yang dialami berpunca sama ada akibat tekanan atau faktor pemakanan.
Jelas beliau, pengambilan ubat ponstant bagi mengurangkan kesakitan ketika haid boleh menimbulkan pedih perut di kalangan wanita.
Sementara itu, sebahagian pesakit yang mengambil aspirin bagi merawat penyakit jantung, angin ahmar dan lain-lain juga pernah mengadu sakit di bahagian hulu hati yang berpunca daripada radang perut (gastritis).
Tambah beliau, biasanya pesakit yang mengambil ubat-ubatan untuk sakit tulang dan sendi seperti NSAIDs akan mengalami kesan sampingan yang serius seperti pedih perut.
“Di kalangan mereka yang menghidap peptik ulser ini, 90 peratus daripada mereka mengadu pedih hulu hati,” ujarnya.
Bagi mencegah pedih hulu hati di kalangan mereka yang belum mengalaminya, langkah sebaik-baiknya ialah mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Pengambilan makanan yang betul dan sesuai, tidak merokok atau mengambil minuman keras dan tidak mengambil ubat-ubatan NSAIDs tanpa nasihat doktor adalah langkah terbaik.
“Mematuhi jadual makanan yang ditetapkan dan pengambilan makanan yang sedikit tetapi kerap juga dapat membantu mengatasi masalah ini,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik-baiknya pesakit menjalani pemeriksaan doktor dan ujian ultrasound bagi memastikan keadaan sebenar.
DIAGNOSA
Doktor akan melihat sejarah pesakit bagi mengklasifikasikan keadaan dan punca sebenar masalah pedih hulu hati.
Pemeriksaan ini membabitkan ujian X-ray, ultrasound dan endoskopi.
* Ujian X-ray
Ujian ini untuk melihat bahagian dada dan abdomen. Pada masa yang sama, ujian X-ray dengan larutan barium boleh dilakukan untuk melihat ulser.
Bagaimanapun, kaedah ini tidak membolehkan contoh tisu diambil jika ulser ditemui.
*Ujian ultrasound
Ini bertujuan untuk melihat sama ada terdapat batu pada pundi hempedu atau saluran hempedu, bengkak atau kanser pada hati dan pankreas.
* Ujian endoskopi
Ujian yang juga dikenali sebagai gastroskopi ini merupakan satu ujian menggunakan alat skop sebesar jari kelingking yang dimasukkan melalui mulut.
Melalui pemeriksaan ini, saluran makanan, perut dan usus kecil dapat dilihat dengan jelas sama ada ulser perut berlaku atau sebaliknya.
Bagaimanapun jika doktor mendapati ada bahagian yang tidak normal, sedikit contoh tisu akan diambil untuk pemeriksaan lanjut kerana ulser perut boleh menyebabkan kanser.
RAWATAN
Jika puncanya dapat dikenal pasti, masalah ini boleh dirawat.
Rawatan ubat-ubatan seperti antacids iaitu sejenis cecair berwarna putih yang mengandungi magnesium atau aluminium yang berfungsi mengalkalikan asid dalam perut dapat membantu mengurangkan kesakitan.
Sekiranya pesakit mengalami radang esofagus, radang perut atau ulser perut, rawatan dengan H2-receptor antagonist atau proton pump inhibitor akan mengurangkan kandungan asid dalam perut secara berkesan.
Bagi mereka yang mengalami gejala ini disebabkan oleh aspirin atau NSAIDs, mereka dinasihatkan menghentikan pengambilan ubat ini dan berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, seseorang yang telah pulih daripada masalah ini masih berisiko untuk mendapat sakit itu semula jika puncanya tidak dirawat dengan sempurna.
KOMPLIKASI
Masalah kesihatan yang boleh dirawat ini jika dibiarkan boleh mendedahkan seseorang kepada risiko mendapat pendarahan dalam perut.
Keadaan ini boleh menyebabkan najis pesakit menjadi hitam atau melekit seperti tar.
Sekiranya ulser tersebut pecah, ia akan menyebabkan kesakitan di seluruh bahagian perut (peritonitis) dan keadaan ini memerlukan pembedahan segera.
Sekiranya ulser tersebut terjadi di bahagian antara perut dan usus kecil ia boleh menyebabkan penyumbatan pada perut.
Keadaan tersebut akan menyebabkan pesakit muntah, rasa cepat kenyang dan tubuh menjadi susut.