Sunday, December 6, 2009

Akil Hayy Jawab JAIS

Hari ini penceramah bebas dan artis popular menjawab kenyataan pengarah JAIS yang beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang agama.Kita sebagai orang awam mampu menilai dengan kenyataan kedua-dua belah pihak ini.Apa pun ambil lah yang jernih dan buangkanlah yang keruh.Bersama kita majukan bidang dakwah ini supaya ia subur di bumi MALAYSIA ku yang tercinta..

PUTRAJAYA: “Cuba nilaikan pengalaman 15 tahun saya berceramah dan berdakwah di depan pelbagai peringkat pendengar termasuk tokoh dan pakar agama dan jangan sekadar melakukan ‘serkap jarang’ semata-mata.

“Bukan mahu membangga diri, saya juga pernah memberikan ceramah di luar negara dan mendapat sokongan mufti di negara berkenaan,” kata penceramah muda dan bekas penyanyi rock, Akhil Hayy, semalam.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman itu, beliau tidak pernah berceramah dalam ‘gelap’ dan sentiasa terbuka kerana mahu masyarakat menilai sendiri input yang mampu ditawarkan kepada mereka.

Akhil berkata, Jais sepatutnya peka dan menyedari tempoh 15 tahun beliau berkecimpung dalam bidang itu (ceramah) selepas meninggalkan dunia artis sepatutnya dilihat dengan hati yang terbuka.

Apa yang dilakukan adalah untuk membawa kebaikan kepada pendengar dan sudah pasti pengalaman yang dimiliki mahu dikongsi bersama dengan pendengar supaya dapat membantu mereka setidak-tidaknya mampu menyedarkan mereka supaya kembali menjadi insan yang memiliki nilai murni,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, berkaitan kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang menganggap bekas penyanyi rock itu tidak mempunyai latar belakang agama yang mencukupi bagi memberikan ceramah agama selain mengharapkan populariti sebagai artis semata-mata.

Bukan itu saja, penceramah yang pernah menjadi pengacara sebuah rancangan ilmiah di televisyen itu juga tidak pernah diberikan sebarang kelulusan berceramah dan pernah ditahan Jais, beberapa tahun lalu.

Akhil berkata, sebagai umat Islam yang sentiasa patuh perintah Allah, setiap input ceramah yang diberikan semuanya berlandaskan kitab suci al-Quran dan hadis.

“Mengapa Jais melabelkan saya sebagai individu yang tidak memiliki latar belakang agama dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Jais sepatutnya meneliti pengalaman dan ilmu saya miliki dan bukan membuat tohmahan tidak tepat itu,” katanya mengakui pernah ke sebuah pusat pengajian Islam di negara jiran bagi memuhasabah diri selepas meninggalkan dunia artis.

Akhil mengakui beliau pernah ditahan Jais apabila berceramah sebelum ini tetapi menganggap ia cabaran sebagai seorang penceramah yang cuba membawa kebaikan kepada pendengar.

Menurutnya, apa yang dilakukan adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dimiliki dengan umat Islam lain dengan harapan mencetuskan perubahan diri mereka untuk menjadi umat Islam yang lebih baik.

“Lebih penting, saya bukan individu yang membawa ajaran sesat tetapi ceramah agama yang menjurus ke arah kebaikan.

“Sepatutnya, Jais melihat kemampuan saya yang melakukan transformasi dari dunia artis ke dunia yang lebih mampu mendekat dan menjadikan kita insan yang baik,” katanya yang mengakui terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Jais itu.

Bukan itu saja, Akhil berkata, beliau mengakui setiap manusia memiliki kelemahan tersendiri tetapi tidak bijak jika hanya menilai individu itu dengan hanya melihat penampilan luar tetapi tidak kepada input positif yang dibawa dan mampu diberikan kepada pendengar.

“Persoalannya, adakah kerana tidak memiliki latar belakang agama itu menjadi masalah besar sedangkan kita mampu memberikan sumbangan baik kepada masyarakat dan dijemput menjadi penceramah di negara lain yang menghargai ceramah disampaikan,” katanya.

Tanpa menidakkan hak Jais untuk membenar atau tidak seseorang itu berceramah di Selangor, Akhil berkata, pihak berkuasa agama itu perlu bersikap terbuka seperti yang dilakukan di negeri dan di negara lain yang menghayati kelebihan seseorang individu itu untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat.

Menurutnya, tempoh 15 tahun terbabit dengan aktiviti ceramah dan berdakwah di seluruh negara yang diterima baik masyarakat tidak wajar dilihat secara sempit oleh Jais.

“Tempoh itu cukup panjang bagi saya memuhasabah diri sehingga tidak terlintas dalam fikiran untuk menipu atau melakukan penyelewengan terhadap masyarakat.

“Saya percaya masyarakat mungkin selesa pendekatan ceramah yang saya lakukan dengan menampilkan pendekatan nyanyian ilmiah selain ceramah berhemah,” katanya.

Sebagai penceramah muda, Akhil berkata, dia bersedia ditegur atau dinasihat jika ada perkara yang tidak betul dilakukan tetapi ia perlu dilakukan dengan berhemah supaya ia dapat membawa kepada kebaikan.

Apa yang pasti, katanya, Jais perlu melihat ‘track record’ dan tidak sewenang-wenangnya melakukan tohmahan yang boleh mematahkan semangat untuk menaburkan bakti kepada masyarakat.

“Saya tidak akan merayu hanya kerana mahu mendapatkan ‘skrip tauliah’ dan jika tauliah itu dijadikan pertimbangan, siapa yang akan mengajar mereka di luar sana,” katanya.

Sumber