Friday, April 8, 2011

Good News For Qiraat Students Out There!!!



Hujan kembali melimpahi bumi Tanta untuk kali ke berapa saya tidak pasti. Kira tahun ni banyak kali juga la hujan turun di Mesir ni. Selalunya hujan taklah lebat dan dalam kadar masa yang tidak lama. Tapi kali ni agak lebat dan lama sikit dari biasa siap bunyi guruh lagi, macam kat Malaysia pulak. Ok, itu bukan benda yang nak bincang panjang lebar untuk post kali ini. Mungkin post akan datang. Itu pun mungkin la. Sebenarnya kali ni nak kongsi maklumat sikit khusus untuk member-member yang study dalam bidang Qiraat ni dan amnya untuk mereka-mereka yang ambil selain dari qiraat. Okay macam ni, minggu lepas saya telah mendapat satu mesej offline dari seorang sahabat brunei saya. Dalam mesej itu beliau menyatakan bahawa salah sebuah universiti di sana buat julung kalinya mewujudkan pengajian dalam bidang qiraat. Universiti tersebut telah menawarkan 3 peringkat pengajian dalam bidang qiraat:

1 - IJAZAH SARJANA MUDA (BA)
2 - IJAZAH SARJANA (MA)
3 - DOKTOR FALSAFAH (PHD)

Sahabat saya itu telah mencadangkan kepada saya agar memohon ijazah sarjana (MA) di universiti berkenaan, memandangkan saya telah pun menghabiskan first degree saya dalam bidang tersebut melalui Maahad Qiraat Shoubra. Menurut beliau lagi, universiti tersebut ada menawarkan scholarship bagi mahasiswa yang menuntut di situ yang mana setiap bulan akan mendapat B$1500. Dan tambang pergi balik ke brunei ditanggung oleh universiti berkenaan.

Itu antara maklumat yang beliau sampaikan kepada saya. First time dapat tahu maklumat tu, agak tertarik la dengan tawaran-tawaran yang dikemukakan. Setelah dapat mesej offline tu terus saya reply balik mesej dia dengan bermacam-macam soalan yang diajukan. Antaranya, siapa yang akan menjadi tenaga pengajar dalam bidang qiraat di universiti berkenaan. Sahabat saya itu menjawab, tenaga pengajar di situ kebanyakannya dari luar negara Brunei seperti Yaman, Mesir, Malaysia dan lain-lain. Saya tak pasti kalau untuk qiraat tenaga pengajarnya dari mana sebab dia hanya bagi tahu secara rambang je. Saya ada tanya pendapat seorang sahabat saya tentang perkara ni. Dan respon beliau antaranya,

- Bagaimana kualiti universiti berkenaan.
- Bagaimana kualiti graduan universiti itu.
- Adakah universiti itu mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia.
- Senang tak nak cari bahan untuk buat tesis MA Qiraat tu di sana (Brunei).

Sekarang ini masih lagi dalam proses untuk mendapatkan maklumat (macam berminat sungguh je) secara terperinci. Maklumat yang dicari ini adalah untuk kemudahan bagi sahabat-sahabat seQiraat yang berminat untuk memohon la ye. Cuma masalah sekarang ialah sahabat Brunei saya tu jarang online. Jadi susah untuk mendapatkan maklumat lanjut lagi pasal benda ini. Tapi baru ni saya telah pun menggunakan khidmat sahabat saya Ustaz Shauqie Sazli untuk mendapatkan maklumat pasal perkara ini memandangkan kakak beliau kini bekerja di sana dan lebih senang untuk menghubungi universiti berkenaan. Antara maklumat yang saya dapat

- Scholarship yang ditawarkan adalah untuk semua mahasiswa (tidak terkecuali mahasiswa Malaysia) yang menuntut di situ.
- Tambang pergi balik ke Brunei disupport oleh universiti berkenaan.
- Universiti berkenaan diiktiraf oleh Malaysia kerana universiti itu ada buat Mou dengan USIM dan UKM.
- Bagi yang berminat, boleh dapatkan borang pemohonan di laman web universiti itu. Anda perlu print borang itu, kemudian isi, setelah isi anda perlu scan borang yang anda isi kemudian hantar kembali ke email universiti berkenaan. Nanti universiti itu akan panggil interview.

Mesti sahabat sekalian tertanya-tanya apa nama universiti ni kan??? Lupa pulak nak sebut nama universiti ni. Nama penuh dia UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI atau singkatan dia UNISSA. Tapi kalau perasan dalam gambar kat atas tu dah letak logo UNISSA tu. Unissa ni baru beroperasi pada tahun 2007. Dan tahun 2011 ni merupakan tahun pertama pengeluaran produk-produk (graduan-graduan) hasil didikan dari Unissa. Itu sekadar ringkasan pengenalan Unissa ni. Ok, Kalau nak tahu syarat-syarat untuk memohon BA, MA, Phd qiraat di UNISSA ni boleh la layari web dia di UNISSA. Sekadar peringatan, tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April 2011 seperti yang tertulis dalam syarat-syarat tu. Bagi anda yang berminat untuk memohon, sila ambil perhatian ini sebaik mungkin. Saya mohon maaf sekiranya maklumat yang saya berikan tidak betul atau salah, sebab saya hanya sampaikan dari sahabat Brunei saya tu. Kalau salah maklumat yang dia berikan bermakna maklumat saya pun salah la ye. Begitu juga maklumat dari Ustaz Shauqie tu. Kalau nak maklumat yang lebih tepat boleh terus call UNISSA di talian +673-2462000 atau terus ke UNISSA bagi mereka yang mampu. Setakat ini dulu. Wassalam

Syarat-syarat untuk memohon:



Sumber

Tuesday, May 18, 2010

3 Orang Pencuri Berjaya Diberkas



Kaherah, 15 Mei - Kecekapan Pihak Keselamatan Mesir terbukti apabila beberapa orang pencuri dilakangan warga tempatan Mesir ditangkap dalam tempoh tidak sampai 48 jam.

Kecurian yang berlaku di rumah sewa pelajar Kelantan kelmarin menyebabkan mereka kehilangan 3 buah komputer riba, 6 buah telefon bimbit, dan 1 hardisk komputer. Ketika pencuri tersebut ditangkap kira-kira jam 9.30 malam. Pihak Keselamatan Mesir terus menghubungi Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime untuk memberitahu tentang penangkapan tersebut.

Beliau dan beberapa orang pelajar Kelantan terus ke balai polis Qismu Al-Thani' di Haiyu Sadis untuk mendapat maklumat lanjut tentang kes kecurian tersebut. Turut hadir sama Timbalan Setiausaha Agung PMRAM Saudara Mohd Zahid bin Abu Bakar.

Ketika di balai, terdapat 3 orang warga tempatan arab Mesir yang berusia lingkungan 20 tahun mengaku telah melakukan kecurian pada hari Jumaat kelmarin. Hampir kesemua barang yang dicuri itu telah pun dijual kepada rakan mereka.

Walaubagaimanapun, masih berbaki beberapa buah telefon bimbit dan komputer riba yang masih belum dijual.

Jelas Pihak Keselamatan Mesir kepada Presiden PMRAM "3 orang pencuri ini telah mengaku bahawa mereka juga telah memecah masuk beberapa rumah pelajar Malaysia di Kaherah ini. Antara tempat yang pernah dipecah masuk ialah Rumak Wilayah Persekutuan, Rumah Kedah dan lain-lain lagi. Mereka ini mengaku telah mencuri lebih daripada 80 buah komputer riba".

Pihak Keselamatan Mesir mengucapkan jutaan terima kasih kepada PMRAM kerana bertindak pantas dengan membawa mangsa kejadian membuat laporan polis sejurus kejadian ini berlaku. Tindakan menjejak pencuri akan menjadi mudah sekiranya laporan yang dibuat kurang daripada 10 jam daripada waktu kejadian.

Kata Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime "Walaupun Pihak Keselamatan Mesir ini cekap dalam melakukan tindakan, ini tidak bermakna pelajar Malaysia boleh leka dalam bab keselamatan terutamanya ketika waktu solat Jumaat. Kebanyakan kes pecah rumah berlaku ketika pelajar leka dan selalu mengambil dalam mudah bab keselamatan".



Sumber

Thursday, May 13, 2010

Tuesday, May 11, 2010

Siswi Perubatan Zagazig Diganggu Pemandu Teksi Mesir


MANSYIAH SALAM, ISNIN, 10 MEI 2010 : Sekumpulan mahasiswi Fakulti Perubatan yang baru sahaja pulang dari universiti telah diganggu oleh seorang pemandu teksi warga Mesir yang menunggu di luar rumahnya. Berikut adalah kronologi peristiwa tersebut :

11.00 pagi : Sekumpulan mahasiswi pulang dari universiti menuju rumah mereka yang terletak di Salam dikejutkan dengan kedatangan seorang pemandu teksi yang cuba menghampiri mereka sambil menunjukkan kemaluannya. Mereka terus bergegas masuk ke dalam imarah yang berkunci.Pemandu tersebut kelihatan menghubungi seseorang dengan menggunakan telefon bimbitnya.

11.06 pagi : Salah seorang mahasiswi menghubungi AJKT DPMZ, Us Muhammad Zuhaili Zainal Ali dan dalam keadaan yang panik memberitahu keselamatan mereka terancam kerana kehadiran pemandu teksi tersebut.

11.07 pagi : Perkara ini terus diberitahu kepada Pengerusi DPMZ,Us Muhammad Hanif Jamaluddin yang berada di Pejabat DPMZ. Pengerusi DPMZ segera bergegas ke tempat kejadian bersama-sama Us Muhammad Zuhaili dan Us Zul Azri Zainal .

11.10 pagi : Pemandu teksi tersebut berjaya dikesan. Pemandu tersebut meletakkan kereta berhadapan kediaman mahasiswi tersebut. Teksi tersebut seterusnya dikepung. Pemandu tersebut yang telah menyedari kehadiran mahasiswa Malaysia dengan melihat cermin sisi keretanya kelihatan terkejut lalu mengeluarkan rokok dengan serta-merta.

11.11 – 11.22 pagi : Pengerusi DPMZ memperkenalkan diri selaku Rais Ittihad Tulabah Malizia di sini (Ketua Mahasiswa Malaysia di Zagazig) bertanya kepada pemandu tersebut mengenai perbuatan kurang ajarnya terhadap mahasiswi kita. Akan tetapi, pemandu tersebut tidak mengakui perbuatannya.

Pengerusi DPMZ seterusnya berundur ke belakang sedikit dari pemandu tersebut yang duduk di kerusi hadapan kerana menyedari pemandu tersebut mengeluarkan sebilah pisau di sisinya dan dipercayai akan digunakan jika terdesak. Pemandu tersebut masih tidak mengakui perbuatannya walaupun berkali-kali didesak oleh Pengerusi DPMZ.

Sementara itu, mahasiswa kita bersiap-sedia terhadap segala kemungkinan serangan mengejut daripada pemandu tersebut.Pemandu tersebut kelihatan takut setelah diugut oleh Pengerusi DPMZ yang akan melaporkan perbuatannya kepada Mabahis Amni Daulah (pihak keselamatan Mesir) jika tidak beredar dalam masa terdekat.Pengerusi DPMZ sempat menyalin nombor pendaftaran teksi tersebut iaitu RAB 8679 - 8679 راب
  
11.23 pagi : Pemandu tersebut meninggalkan tempat kejadian dengan tergesa-gesa.

1.30 petang : Pengerusi DPMZ dan beberapa AJKT lain membuat beberapa siri rondaan di sekitar kawasan berdekatan tempat kejadian dan mendapati pemandu tersebut berada tidak jauh dari tempat kejadian.Pemandu tersebut kemudiannya beredar.(Dipercayai ternampak mahasiswa Malaysia yang sedang memerhatikannya).

Akibat bimbang peristiwa yang sama berulang semula pihak DPMZ bersiap sedia jika menerima aduan lagi. Pihak DPMZ telah memberitahu beberapa mahasiswa berdekatan dan akan mempertahankan maruah ahli kita dengan sedaya upaya yang mungkin.

5.00 petang : Ketua Unit Hisbah DPMZ, Us Rosdi Latif serta AJKT DPMZ membuat rondaan di sekitar Salam untuk memastikan pemandu teksi tersebut sudah tiada.

Berikutan dengan peristiwa gangguan seksual yang telah berlaku, DPMZ menasihatkan seluruh ahli terutamanya mahasiswi tidak berjalan seorang diri walaupun pada siang hari.Segala bahaya kemungkinan akan berlaku seperti kes kecurian dan gangguan seksual.

Ingatlah, saat kita terlampau berpuas hati dengan keselamatan dan keadaan sekeliling adalah saat yang paling bahaya bagi diri kita.Sekiranya terdapat gangguan lagi sila hubungi Pengerusi DPMZ Us Muhammad Hanif Jamaluddin (0142309120), Ketua Hisbah DPMZ Us Rosdi Latif (0113629766) serta AJKT DPMZ yang lain.Selain itu, seluruh ahli juga digesa untuk mematuhi Ketetapan Hisbah DPMZ demi keselamatan bersama.