Tuesday, May 11, 2010

Siswi Perubatan Zagazig Diganggu Pemandu Teksi Mesir


MANSYIAH SALAM, ISNIN, 10 MEI 2010 : Sekumpulan mahasiswi Fakulti Perubatan yang baru sahaja pulang dari universiti telah diganggu oleh seorang pemandu teksi warga Mesir yang menunggu di luar rumahnya. Berikut adalah kronologi peristiwa tersebut :

11.00 pagi : Sekumpulan mahasiswi pulang dari universiti menuju rumah mereka yang terletak di Salam dikejutkan dengan kedatangan seorang pemandu teksi yang cuba menghampiri mereka sambil menunjukkan kemaluannya. Mereka terus bergegas masuk ke dalam imarah yang berkunci.Pemandu tersebut kelihatan menghubungi seseorang dengan menggunakan telefon bimbitnya.

11.06 pagi : Salah seorang mahasiswi menghubungi AJKT DPMZ, Us Muhammad Zuhaili Zainal Ali dan dalam keadaan yang panik memberitahu keselamatan mereka terancam kerana kehadiran pemandu teksi tersebut.

11.07 pagi : Perkara ini terus diberitahu kepada Pengerusi DPMZ,Us Muhammad Hanif Jamaluddin yang berada di Pejabat DPMZ. Pengerusi DPMZ segera bergegas ke tempat kejadian bersama-sama Us Muhammad Zuhaili dan Us Zul Azri Zainal .

11.10 pagi : Pemandu teksi tersebut berjaya dikesan. Pemandu tersebut meletakkan kereta berhadapan kediaman mahasiswi tersebut. Teksi tersebut seterusnya dikepung. Pemandu tersebut yang telah menyedari kehadiran mahasiswa Malaysia dengan melihat cermin sisi keretanya kelihatan terkejut lalu mengeluarkan rokok dengan serta-merta.

11.11 – 11.22 pagi : Pengerusi DPMZ memperkenalkan diri selaku Rais Ittihad Tulabah Malizia di sini (Ketua Mahasiswa Malaysia di Zagazig) bertanya kepada pemandu tersebut mengenai perbuatan kurang ajarnya terhadap mahasiswi kita. Akan tetapi, pemandu tersebut tidak mengakui perbuatannya.

Pengerusi DPMZ seterusnya berundur ke belakang sedikit dari pemandu tersebut yang duduk di kerusi hadapan kerana menyedari pemandu tersebut mengeluarkan sebilah pisau di sisinya dan dipercayai akan digunakan jika terdesak. Pemandu tersebut masih tidak mengakui perbuatannya walaupun berkali-kali didesak oleh Pengerusi DPMZ.

Sementara itu, mahasiswa kita bersiap-sedia terhadap segala kemungkinan serangan mengejut daripada pemandu tersebut.Pemandu tersebut kelihatan takut setelah diugut oleh Pengerusi DPMZ yang akan melaporkan perbuatannya kepada Mabahis Amni Daulah (pihak keselamatan Mesir) jika tidak beredar dalam masa terdekat.Pengerusi DPMZ sempat menyalin nombor pendaftaran teksi tersebut iaitu RAB 8679 - 8679 راب
  
11.23 pagi : Pemandu tersebut meninggalkan tempat kejadian dengan tergesa-gesa.

1.30 petang : Pengerusi DPMZ dan beberapa AJKT lain membuat beberapa siri rondaan di sekitar kawasan berdekatan tempat kejadian dan mendapati pemandu tersebut berada tidak jauh dari tempat kejadian.Pemandu tersebut kemudiannya beredar.(Dipercayai ternampak mahasiswa Malaysia yang sedang memerhatikannya).

Akibat bimbang peristiwa yang sama berulang semula pihak DPMZ bersiap sedia jika menerima aduan lagi. Pihak DPMZ telah memberitahu beberapa mahasiswa berdekatan dan akan mempertahankan maruah ahli kita dengan sedaya upaya yang mungkin.

5.00 petang : Ketua Unit Hisbah DPMZ, Us Rosdi Latif serta AJKT DPMZ membuat rondaan di sekitar Salam untuk memastikan pemandu teksi tersebut sudah tiada.

Berikutan dengan peristiwa gangguan seksual yang telah berlaku, DPMZ menasihatkan seluruh ahli terutamanya mahasiswi tidak berjalan seorang diri walaupun pada siang hari.Segala bahaya kemungkinan akan berlaku seperti kes kecurian dan gangguan seksual.

Ingatlah, saat kita terlampau berpuas hati dengan keselamatan dan keadaan sekeliling adalah saat yang paling bahaya bagi diri kita.Sekiranya terdapat gangguan lagi sila hubungi Pengerusi DPMZ Us Muhammad Hanif Jamaluddin (0142309120), Ketua Hisbah DPMZ Us Rosdi Latif (0113629766) serta AJKT DPMZ yang lain.Selain itu, seluruh ahli juga digesa untuk mematuhi Ketetapan Hisbah DPMZ demi keselamatan bersama.