Semenjak empat bulan terlibat
dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook.
Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh
jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa
terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara,
iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak
langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap
pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status
facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan
mereka. Tertekanlah sang suami atau isteri.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang
rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka
kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia
mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan
membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai
pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang
diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh
sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka
sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang
masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk
diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa,
mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup
kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah
atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info
yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali
disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh
mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info
tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat
‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang
dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal
memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya.
Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui
facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook
anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada
anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete)
mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang
wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin
sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian
terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar
mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar)
dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya,
aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana
sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh
keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa
cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang
menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani
bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan
memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu
(seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan
komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita
ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama,
sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih
bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk
dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar
isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya
di facebook. Baca perihal ciri lelaki
dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita
untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada
dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi
‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses
kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat
lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita
yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai
dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan
menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan
gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya
telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang
yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend
untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan
terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu
‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar
tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana
wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai
sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada
lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar
mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah
gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah
pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah
tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti,
terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan
sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala
suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika
itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang
membuka aurat.
Tagging atau menandakan
sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan
gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya
fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah
ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir.
Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan
kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu
disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend,
dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana
:-
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak
menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya
yang tidak menutup aurat adalah haram.
b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan
auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam
keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga
terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang
di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar
masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang
boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya,
sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka.
Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar
sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun
menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan
individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun
rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan
‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila
gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama
seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau
tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun
gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran
dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga
wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution
dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk
ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make
up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu
sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya?
Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk
menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra
caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya
tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman
solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu',
'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila
berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?,
kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian
sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas
pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama
seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang
baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan
betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi.
Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan
sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda
di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah
lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya
terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan
menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah
sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman