Wednesday, January 6, 2010

Penggunaan “Kalimah ALLAH”: PAS Terbuka

Berikut adalaha kenyataan media Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS berhubung isu penggunaan “kalimah Allah”

KENYATAAN MEDIA

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"

Sebagai seorang ahli PAS yang wala' pada pimpinan saya akur pada kenyataan ini.

Dalam erti kata lain dari fahaman saya PAS boleh menerima sekiranya penganut Kristian (dalam hal ini bagi tujuan akhbar Herald Tribune) (kerana di Malaysia tiada penganut agama Samawi yang lain) mahu menggunakan kalimah ALLAH dengan konotasi merujuk kepada TuhanYang Esa, dan tidak yang lain dari itu.

Namun jika disalahgunakan bagi tujuan yang mengelirukan PAS tidak boleh terima. Saya rasa di bab inilah lahirnya kebimbangan ramai dikalangan umat Islam khasnya ahli dan penyokong PAS. Insiden murtad yang melibatkan beberapa individu masih terngiang dalam memori kita. Nama Aishah Bukhari dan Lina Joy antaranya telah mengguris dan menyiat-nyiat hati dan sensitiviti ramai dikalangan kita. Begitu juga kes Natrah puluhan tahun lalu sehingga mengakibatkan Dr Burhanuddin al Helmi (yang kemudiannya menjadi Presiden PAS) ditangkap.
Jika pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah (selain umat Islam sendiri) dapat mengawal diri dan menjamin yang kalimah ini tidak digunakan nanti bagi kerja-kerja “mendakwahkan” atau mengelirukan penganut Islam supaya menerima ajaran mereka maka sebagaimana pendirian PAS di atas kita boleh bersikap “terbuka”.

Bersedialah kita menghadapi fitnah akhir zaman, satu persatu akan datang tanpa belas kasihan. Jaga iman masing masing. Jangan tertipu dengan karenah dunia. Selaku umat Muhammad s.a.w yang berAgama Islam kita harus mempamirkan wajah sebenar Orang Islam supaya golongan Kristian nampak jalan yang lurus yang mereka sentiasa cari, walaupun sebenarnya ada di sekeliling mereka. Tetapi jika orang Islam itu sendiri tidak mempamirkan kelurusan Agama Islam, malah lebih sesat daripada yang tersesat, bagaimana Kristian mahu mengikut jejak Orang Islam. Yang paling dikhuatiri yang lurus pula yang tersesat dan mengikuti orang yang sesat. Nauzubillah.

Semoga Allah memelihara iman kita dan sentiasa memelihara kita agar tidak tersesat di sepanjang kehidupan kita daripada fitnah Dajjal.

Marilah kita sama-sama menerima pendirian ini dan melihat perkembangan selanjutnya dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Sumber 1 , 2