Sejarah terukir lagi. Menepati
ramalan awal, mahasiswi Qiraat Mansurah tidak dibenarkan menduduki peperiksaan
syafawi (lisan) 29 April 2010. Mahasiswi Qiraat Mansurah yang bersemangat untuk
menduduki peperiksaan akhirnya pulang hampa. Saya pasti ada yang mengalirkan
air mata. Kami amat kesal dengan apa yang telah berlaku. Hal ini jelas membuktikan
bahawa kegagalan pihak JPMK menguruskan hal pelajar. Antara tujuan utama
diwujudkan JPMK di sini adalah untuk memudahkan para pelajar tetapi kini
berlaku sebaliknya. Di manakah pegawai JPMK sewaktu pelajar Qiraat dihalang
daripada menduduki peperiksaan? Sedang lena diulit mimpi atau leka dengan laman
sosial Facebook?
Harapan bagi seluruh mahasiswa/wi Qiraat Shoubra dan Mansurah untuk menduduki peperiksaan tahriri (bertulis) yang akan bermula pada 8 Mei ini dilihat semakin kabur kerana pihak JPMK sendiri tidak yakin para pelajar akan menduduki peperiksaan pada 8 Mei ini. Kenyataan yang jelas ini dikeluarkan pegawai Atase Pendidikan JPMK, Khairi Jalalludin melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada salah seorang wakil pelajar. Kandungannya adalah seperti berikut :
"Salam pelajar yang dihormati, keputusannya masih tergantung sehingga ana bertemu syeikh alazhar dr ahmad tayyib selasa ini. Namun kemungkinan besar pelajar akan ambil peperiksaan bulan Julai. Harap maklum dan sebarkan."
Saya tidak yakin dengan kenyataan sebegini kerana sebelum ini sudah berkali-kali janji untuk nama muqayyad selepas 10 hari dilakukan namun sehingga kini nama pelajar Qiraat masih belum muqayyad. Dimaklumkan juga bahawa fail-fail nama pelajar tidak dapat dipastikan berada di mana samada pada pihak al Azhar atau masih berada pada pihak JPMK. Mana perkhidmatan cemerlang yang kalian canang-canangkan? Jika benar mahasiswa/wi Qiraat akan menduduki peperiksaan pada bulan Julai, risiko yang amat besar bakal ditanggung oleh semua mahasiswa/wi kerana peperiksaan pada bulan Julai adalah peperiksaan ulangan.
Sebentar tadi diadakan perjumpaan ringkas di Dewan Ibnu Jazari seusai solat Hifzi. Seluruh mahasiswa Qiraat Shoubra yang hadir menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kes kegagalan nama pelajar Qiraat muqayyad tanpa menyatakan alasan yang benar-benar kukuh dan penjelasan daripada pihak berwajib. Kebanyakan yang hadir setuju jika diadakan dialog khas antara pihak JPMK dengan pelajar Qiraat bagi menjelaskan masalah ini.
Pihak berwajib seolah-olah cuba mengelak dan lari daripada menghadapi para pelajar dengan menabur pelbagai janji yang tidak pasti bila akan dilunaskan. Tindakan yang mereka lakukan juga dilihat sebagai langkah untuk menghalang kedatangan pelajar agama ke bumi Mesir. Mahasiswa/wi Qiraat, diharapkan kalian bersabar dan teruskan memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Doakan semoga kalian semua dapat menduduki peperiksaan pada tanggal 8 Mei nanti.